Bismillahirrahmanirrahim...
Lagi 2 hari ramadhan akan tiba. Hmm... Rindunyer nak jumpa. Dah lama benar 'dia' tinggalkan kita semua ye. Bagi orang-orang yang beriman kehadiran Ramadhan sangatlah dialu-alukan kerana mereka teramat merinduinya. 'Dia' hadir membawa 1000 erti bagi yang tahu menilai dengan mata hati. Keberkatan yang dibawa bersamanya sangat didambakan oleh mu'minin dan mu'minat. Pelbagai rahmat dan begitu juga maghfirah ada di bulan ini. Justeru itu, rebutlah peluang keemasan ini agar kita tidak merasa rugi. Perbanyakkan amal dan juga sedekah jariah agar kita akan mengecapi nikmat memberi pada yang memerlukan. Sebenarnya, apabila kita memberi pada yang memerlukan kita akan merasakan satu nikmat yang luar biasa kerana kita dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh orang tersebut. Mungkin nasib mereka tidak sebaik nasib kita tetapi mereka juga berhak mengecapi nikmat hidup seperti yang kita rasai.
Kalau di zaman Umar Abdul Aziz, beliau mampu turun padang untuk sama-sama merasai apa yang rakyatnya alami, kenapa tidak kita juga berbuat begitu. Mungkin kita bukan pemimpin tertinggi dalam sesebuah negara tetapi tidaklah salah kiranya kita berkongsi sedikit nikmat yang Allah kuniakan kepada kita. Mungkin hari ini kita senang tapi siapa tahu esok atau lusa kita pula yang akan susah, kita kena ingat ketentuan Allah itu pasti. Oleh itu, jangan terlalu merasa selesa dengan apa yang kita miliki hari ini. Rendahkanlah hati kita dan turunlah ke tanah serta pijaklah bumi agar kita tahu dari mana kita datang dan ke mana kita akan pergi. Kebahagiaan, kemewahan dan keselesaan yang kita ada hari ini belum tentu akan kekal bersama kita. Maka, kita kena sedar bahawa apa yang kita miliki itu cuma sekadar pinjaman daripada Yang Maha Memiliki. Apabila Dia ingin mengambilnya kembali, kita sudah tidak punya hak untuk menghalang hatta harta kita itu kita simpan dalam peti besi sekali pun.
Namun Allah sudah menjanjikan yang Dia akan memurahkan rezeki pada orang-orang yang suka membelanjakan hartanya ke jalan yang diredhaiNya. Ingatlah kamu semua pada masa kaya sebelum miskin dan juga pada masa lapang sebelum masa sempit.
Justeru itu, sempena kedatangan ramadhan al-mubarak ini, saya mengajak diri saya dan juga sahabat-sahabat semua untuk sama-sama berlumba membuat kebaikan dan kebajikan agar ia boleh menjadi bekal buat kita di akhirat kelak. Wassalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment